Salam..........





Sunday, March 1, 2009

3 hari yang bermakna..Bersama-sama adik2 tersayang..


Huh..seminggu sudah berlalu program ini, namun hangatnya masih terasa.kesyahduan suasana asyik menggamit jiwa yang dulunya gersang dek ketandusan iman. Pertapakan kakiku ke bumi sekolah agama ulu gadong membuatkan diri ini masih lagi disayangi dan dicintai...namun fenomena di sana cukup membuatkanku untuk lebih bersyukur atas segala nikmat yang diberikan olehNya..Syukran wa alhamdullillah.
Sahabiah yang dicintai sekalian,
Pertama kali berprogram bersama anak-anak yatim dan dikategorikan sebagai anak-anak kurang berada(pada hakikatnya mereka sebenarnya kaya dengan akhlak yang soleh dan solehah), mengimbau saat-saat ketika aku kecil dahulu. Aku bermain-main pasir dan guli. Melihat kawan bermain gasing, nak main gasing. Tengok kawan main batu seremban, nak main juga. Terasa ketotolan aku dahulu kerana tidak mengetahui tujuan perbuatan ku itu. Setelah berumur 18 tahun dan beberapa bulan, aku mula mengenal erti kehidupan. Cabaran yang hadir mematangkan diri. Hendak diceritakan di sini, aku amat gembira menyambut kemunculan adik-adik yang ku sayangi. Teringat pesanan ustaz hazrizal dalam satu ceramahnya ada menyebut kita hidup mesti ada matlamat. Buat apa pun mesti ada matlamat. Tambah lagi, memori yang lepas terlintas sebagai memperkukuhkan lagi tujuan aku hidup iaitu sentiasa menggunakan apa sahaja ruang yang ada untuk berdakwah. Jesteru, aku telah memasang niat ketika dalam perjalanan ke ulu gadong itu untuk berdakwah dan memberi pendedahan tentang islam melalui kaedah tidak langsung kepada jika tidak semua cukuplah hanya beberapa insan terpilih. Kerana aku yakin aku berusaha, tetapi hanya Allah yang menentukan hasilnya.
Rakan-rakan pembaca yang ku cintai,
Aku tidak mahu menceritakan secara dalam tentang apa yang berlaku di sana, namun hendak diceritakan hanyalah ibrah atau pengajaran dalam pengalaman. Antara yang aku belajar di sini ialah erti kasih sayang kerana Allah serta bagaimana perkenalan dapat melanjutkan ukhuwah yang mungkin sedang tersekat di suatu kawasan yang tertutup. Aku diletakkan sebagai feisi bersama hidayah(dayah) dalam satu kumpulan yang terdiri daripada bilangan jantina yang secocok.4 lelaki dan 4 perempuan. Hasil perkenalan, tersematlah nama, shahrul, syafiq,nursyafiq, ikrimah,hawa,una,aishah, dan fatihah. Nak diceritakan di sini, mereka semua memang 'sporting' la. Tidak pernah melawan apatah lagi nak merungut. Saling tak tumpah ibarat anak2 sendiri(walaupun belum berpunya lagi). Aku melihat bagaimana kesungguhan mereka dalam bekerja secara berkumpulan. Aktiviti membina menara, mereka topi, membuat lagu cheer dan sebagainya memperlihatkan semangat esprit de corps mereka. Aku amat bersyukur.
Sahabiah yang disayangi sekalian,
Dalam kegembiraan meniti hari-hari bersama adik-adik tersayang ini, selaku orang yang selalu melihat gelagat manusia dan merasainya, aku amat tersentuh dan sedih kerana keadaan mereka di sana. Berlatarbelakangkan kedudukan keluarga yang kurang berada, terasa sekiranya aku berada dalam kedudukan mereka. Betapa peritnya mereka di sana. Air mula bertakung di kelopak mata ketika solat maghrib dek memikirkan nasib mereka dan keadaan aku yang akan pergi ke alam akhirat kelak. Adakah aku mampu untuk memperbaiki diriku serta adik-adik ini sebelum jantung terhenti. Mampukah menjawab segala persoalan. Hanya sekalung doa yang mampu dihulurkan agar mereka berjaya dengan cemerlang dan menggapai cita-cita mereka.
Rakan-rakanku yang ku kasihi,
Banyak lagi pengajaran yang aku belajar dalam program yang singkat ini, namun peringatan terakhir yang terkesan di jiwa aku adalah aku perlu lebih bersedia dan sentiasa menghayati segala perkara yang berlaku di hadapan mata. Lebih baik bersangka baik daripada buruk. Membawa Allah di mana sahaja aku berada. Setiap yang berlaku di hadapan mata adalah daripada Allah dan pastinya ada berbagai-bagai hikmah dan iktibar di sebaliknya. Biarpun sangat pahit, namun pengajarannya cukup untuk memuhasabah diri ini yang sentiasa berdosa. Apa-apa yang berlaku, aku akan tudingkan jari ku kearah diriku dan cuba meletakkan diri di posisi sebegitu supaya aku belajar sesuatu dengan penghayatan yang cukup mematangkan diri. Aku yakin dengan diriku kerana hanya Allah yang memiliki segala-galanya. Aku tidak berkuasa atas sesuatu apapun melainkan Allah jua yang Maha Berkuasa. Teringat satu kata-kata dalam sebuah buku yang ku telaah semalam 'Awal agama mengenal Allah'. Kini aku sentiasa mencari-cari mutiara hidayah untuk lebih kenal, lebih cinta, lebih sayang malah lebih kasih kepada Allah yang satu. Peristiwa-peristiwa yang berlaku membawa aku semakin dekat dengan Allah.
Kawan-kawanku seperjuangan sekalian,
Berbalik kepada program itu, aku akhiri pesanan aku dengan peringatan agar mereka tidak meninggalkan solat. Mungkin bukan waktu ini untuk mereka mengetahui kepentingan solat, tetapi aku yakin suatu hari nanti mereka akan mula mengimbau pesananku ini ketika mereka melalui keadaan sebagaimana yang ku alami ketika ini. Cukup berterima kasih kepada ibu, ayah, abang-abang, akak, adik-adik serta mereka yang pernah mendidik diri ini secara langsung atau tidak langsung kepada tarbiah yang berkekalan. Mudah-mudahan berkat doa daripada kamu semua, aku akan sentiasa dalam landasan yang benar. Satu monolog yang aku sempat reka selepas pengalamanku di ulu gadong itu. 'Aku akan sentiasa cuba untuk merasai dan menghayati dan bukan sekadar mengetahui tentang sesuatu peristiwa samaada aku yang mengurus atau aku yang diurus'. Akhir kata daripada cebisan ini, aku mengucapkan syukur dan terima kasih yang tidak terhingga kepada kelab pembimbing rakan sebaya Kolej MARA Seremban atas bantuan dan kesudian mereka dalam memilihku sebagai pembantu program. Insyaallah aku akan cuba memanfaati segala yang diberikan kerana aku yakin bahawa pastinya setiap sesuatu yang Allah takdirkan itu ada pengajaran bagi mereka yang berfikir.

2 comments:

suara saudara said...

Assalamualaikum,
Saudara,
Kita nanti dan kejar sinar cahayaNya, untuk kita masuk ke dalam dan tidak bergelap lagi.Namun, gelap jua yang kerap hadir menguasai diri, hingga sering tersungkur dari jalanNya.Semoga dari jauh sinarNya menerangi jalan juang kita sehingga kita tidak tersungkur lagi.

nasyiq al_esfahani said...

syukron ya rofiq...
tatkala kita terkinja-kinja mengejar sumber hidayah ALLAH, kita tak menyedari insan di luar sana masih leka dibaluti kemewahan dunia...
wahai sahabat, bersyukur juga diri ini bertemu dengan sahabat seperti anda...
semoga kita menempuh layar persahabatan bersama, mencari hidayah TUHAN...
mencari kebenaran yang telah lama terkubur...