Salam..........





Sunday, February 15, 2009

Perjalanan Yang Bermakna....


Alhamdulillah, selesai sudah tugasku menyelesaikan perjalanan hidup para ahli sukan Kolej Mara Seremban. Agak menyukarkan tatkala terpaksa menghadapi bermacam-macam cabaran sehingga penghabisan perlawanan. Selepas satu-satu dugaan datang. Namun bukan untuk mengeluh tetapi bersyukur kerana berkat kekuatan yang diberikan Allah, aku masih bernafas dan thabat dalam suasana yang soleh dan waras. Cukup banyak yang aku tatapi dan rasai sepanjang minggu ini. Bermula dengan pesan naqib ku yang ku amat sayangi kerana Allah. Beliau telah memberi sedikit formula baru yang begitu terkesan di hati sanubariku. Diperjelaskan bahawa sebenarnya kita menuntut ilmu ini bukan untuk tahu sahaja tetapi untuk faham yang paling utama.
Analoginya, kita lihat ramai orang yang bukan beragama Islam cemerlang dalam akademiknya. Kerana apa? kerana mereka belajar untuk tahu dan menjawab soalan peperiksaan. Katakanlah ada orang tanya dia kamu dah makan ke belum? Dia tidak akan menjawab 'rasanya belum kot' atau ' mungkin kejap lagi'. Bahkan apa yang dijawab ialah YA atau TIDAK. Kerana mereka dilatih untuk tahu dan untuk jawab soalan. Namun begitu, bukanlah tujuan ku untuk merendahkan mereka tetapi untuk menjadi panduan bagi kita umat islam yang terbaik. Hal ini kian memercik sehingga membakar diri umat islam pada hari ini. Berapa ramai antara umat islam yang cemerlang akademik dan sahsiahnya? Mungkin kita boleh hitung.
Fokus kepada umat islam yang cemerlang akademik sahaja. Berapa ramai umat islam tahu adanya neraka dan ada nya syurga? Berapa ramai yang tahu dosa dan pahala? Berapa ramai yang tahu bahawa kematian itu datang bila-bila? Rasanya tiada yang tidak tahu tentang perkara ini.Semua sedia maklum rasaya. Tapi sahabat-sahabatku yang ku cintai sekalian....Adakah mereka benar-benar memahami dan menghayati maksud di sebalik segala ketentuan itu? Tahu mati itu tidak lama lagi tapi tetap melakukan kemungkaran seolah-olah mereka percaya mati itu lambat lagi. Atau mungkin juga percaya bahawa mati itu tidak akan berlaku. Sekiranya demikian, adakah kita masih hendak mengaku kita ini adalah hamba Allah yang beriman kepadaNya sedangkan kita tidak mempercayai dan meyakini akan segala ketentuannya. nauzubillahi min zalik.
Sejenak selepas pengisian itu, lidah ku kelu tidak berkata. Tidak mampu mengucapkan sepatah frasa sebagai hukuman atas kata-kata jelek silamku sebelum ini. Terasa 18 tahun hidup tanpa makna dan faedah. Air kekesalan bertakung di kelopak mata. Hanya keampunan dipohon atas segala kesilapan. Selepas dari itu, aku mula untuk cuba memahami daripada sebesar-besar perkara sehinggalah sekecil-kecilnya. Mungkin atas sebab itu, aku diduga dengan mehnah yang bertimpa-timpa . Bayangkan perkara yang kita rancang tiba-tiba di saat akhirnya tidak diluluskan. Bayangkan orang yang memberi kerja tanpa memahami kerja yang kita ada kini masih belum tertampung. Sungguh terseksa bila terasa sedemikian. Namun inilah mehnah perjuangan seorang insan kerdil. Kata Mustafa masyur ' Kamu tidak akan dapati dakwah kamu sentiasa disirami dengan bunga-bunga indah' .
Apabila menghadapi ujian ini, aku sentiasa berzikir dan berdoa kepada Allah agar sentiasa tenang dan sabar dalam menghadapi dugaan ini. Kadangkala sehingga bercerita pada Allah dalam doa di embun pagi yang tenang seketika orang lain sedang nyenyak tidur. Seolah-olah merasakan bahawa Dialah yang paling memahami. Terasa bahawa tidak ada yang lebih layak untuk menemani diri ini melainkan Dia yang ku paling cintai. Aku mula meneliti satu persatu mehnah ini. Sehari demi sehari aku mula cuba merenung kembali kekurangan diri ini yang perlu diubati. Aku yakin kasih sayang Allah tidak berbelah bagi. Bagiku, kemenangan adalah ujian, kegagalan juga ujian, dan hidup ini sebenarnya adalah ujian. Kerana itu aku yakin dan percaya bahawa bukanlah dinamakan HIDUP selagi kita tidak menempuh sebarang ujian.
Jesteru sahabat senafasku ku sekalian, aku ini masih lagi kerdil untuk memahami segala peristiwa di alam ini. Tidak terjangkau umur yang ada. Namun kuharap agar kita sama-sama memahami dan menghayati segala ilmu dan perkara yang dituntut. Bukanlah perkongsian ini untuk berbangga atas apa yang ada, tetapi sebagai perkongsian yang mungkin juga kalian rasai. Selaku insan yang seringkali terbabas daripada landasan yang sebenar, aku tidak menafikan kadangkala kita tersungkur, tetapi aku sentiasa berdoa agar kita sentiasa diberi kekuatan untuk menghadapi segala ketentuanNya.
"Barangsiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka akan mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan niat berhijrah kepada Alllah dan RasulNya, kemudian kematian datang menimpanya( sebelum ia sampai ke destinasi), maka sesungguhnya telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang"-(Surah An-nisa:100)
Oleh itu, sama-sama kita thabat dan sabar dalam mengharungi kehidupan di dunia ini. Ketahuilah kehidupan sebenar di akhirat yang kekal abadi. Tidak terbayang bukan. Maaf segala kesilapan sekiranya ada. Memang aku hanya manusia biasa yang tiada apa-apa melainkan Allah sebagai pengubat di kala duka, pemutus hidupku di akhirat sana. Mudah-mudahan kita beroleh syurga.

No comments: